Sumber bahan makanan dan minuman Hukum_pemakanan_Islam

Sumber utama makanan dan minuman manusia adalah dari haiwan, tumbuh-tumbuhan, bahan semulajadi, bahan kimia dan mikro-organisma yang mana ada di antaranya yang dihalalkan dan ada yang diharamkan.

Haiwan

Haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu;

  • a) Haiwan Darat.
  • b) Haiwan Air.

Haiwan darat

Semua haiwan darat (mamalia maun @ mamalia herbivor) seperti lembu, rusa, kambing dan sebagainya, serta keluarga burung yang tidak beracun dan muncung paruhnya tumpul dan bengkok seperti itik, ayam, burung puyuh dan sebagainya halal dimakan, kecuali;

  1. Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak. (Disembelih bukan kerana Allah).
  2. Babi.
  3. Anjing.
  4. Haiwan (mamalia maging @ mamalia karnivor) yang mempunyai taring atau gading yang digunakan untuk membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah, badak sumbu, kucing dan seumpamanya.
  5. Burung yang mempunyai kuku pencakar, paruh tajam, makan menyambar (burung pemangsa) seperti burung helang, burung hantu dan seumpamanya (karnivor).
  6. Haiwan-haiwan yang disyariatkan oleh Islam untuk dibunuh seperti tikus, kala jengking, burung gagak, lipan, lipas, lalat, ular dan seumpamanya (reptilia). (Namun begitu sejenis reptilia padang pasir itu biawak padang pasir (dhab) boleh dimakan dalam Islam.)
  7. Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya seperti semut, lebah, burung belatuk, burung hud-hud dan labah-labah. (Sejenis belalang daun yang darahnya tidak mengalir boleh dimakan menurut Islam.)
  8. Haiwan yang dipandang jijik (keji) (al-Khabaith) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat dan seumpamanya.
  9. Haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya, penyu, anjing laut, singa laut dan seumpamanya (amfibia). Terdapat khilaf atau pertikaian mengenai isu ini (sila lihat di bawah).
  10. Semua jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA adalah halal, namun haram dimakan yang berasal dari haiwan yang lahir dari salah satu keturunan dari babi atau anjing.

Haiwan air

Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja. Ia adalah halal dan boleh dimakan kecuali yang beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia. Ikan Belacak halal dimakan.

Tumbuh-tumbuhan

Semua jenis tumbuh-tumbuhan dan hasilnya adalah halal dimakan kecuali yang berbisa, beracun, memabukkan, membahayakan kesihatan manusia serta yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA yang bersumberkan dari bahan yang haram.

Minuman

Rencana utama: Khamr

Semua air adalah halal diminum kecuali yang beracun misalnya racun atau ubatan merbahaya, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia dan bercampur dengan benda-benda najis. Arak, alkohol adalah haram dan berkaitan dengannya haram statusnya.

Bahan semulajadi

Semua bahan semulajadi seperti air, mineral dan lain-lain adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.

Bahan kimia

Semua bahan kimia adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.

Bahan tambahan (aditif)

Bahan tambahan makanan seperti penstabil, pengemulsi, pewarna, perisa, pengawet dan seumpamanya adalah halal kecuali yang dihasilkan dari sumber haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang diharamkan oleh hukum syarak.

Bahan gunaan orang Islam

Bahan gunaan orang Islam boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu;

  • a) Kosmetik
  • b) Pakaian dan peralatan.

Kosmetik

Kosmetik adalah bahan-bahan atau ramuan yang terdiri daripada pelbagai unsur untuk dimasukkan ke dalam tubuh, disapu, digosok, dibalut, ditempel, dipakai dengan tujuan untuk kecantikan seperti pewarna rambut, bedak, gincu, pewarna kuku, maskap muka, celak dan seumpamanya.

Bahan kosmetik yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan bahan kimia adalah boleh digunakan kecuali yang beracun dan membahayakan kesihatan. Bahan kosmetik yang diperbuat daripada sumber haiwan halal yang disembelih menurut kehendak syarak adalah boleh digunakan.

Nota tamabahan: Islam melarang penggunaan perwarna hitam dengan tujuan untuk menghitamkan rambut,penggunaan warna lain seperti warna perang dan sebagainya adalah dibolehkan,namun penggunaannya mestilah bertempat dan tidak mendatangkan keburukan di kalangan masyarakat serta bahan yang digunakan perlulah suci, selamat, halal dan tidak menyekat pengaliran air masuk ke dalam kulit kepala.Pembuatan tatu pada tubuh manusia dengan apa cara sekali pun juga adalah haram disisi Islam.

Pakaian dan peralatan

  • Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat dari tumbuh-tumbuhan boleh digunakan.
  • Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada bulu haiwan boleh digunakan kecuali bulu babi dan anjing.
  • Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada tulang, tanduk,kerang-kerangan, kuku dan gigi haiwan yang dagingnya halal dimakan melalui sembelihan mengikut hukum syarak boleh digunakan.
  • Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada kulit haiwan (kecuali kulit babi dan anjing) yang telah disamak boleh digunakan.